top of page
  • Writer's pictureHaiwan Bukan Permainan

Panduan & Tips: Membawa Haiwan Eksotik ke Veterinar

Updated: May 12, 2023


Sebagai tuan hamster, landak mini, guinea pig atau apa apa haiwan eksotik, anda mesti akan membawa haiwan peliharaan anda ke veterinar atau klinik haiwan.


Sebelum anda membela haiwan eksotik, anda sudah pasti tahu bahawa kos veterinar untuk haiwan eksotik lebih mahal dari kos merawat kucing dan anjing. Kerana ia melibatkan wang, sudah pastinya anda mahu memastikan lawatan dan pengalaman anda ke veterinar itu memuaskan. Dengan itu, ini merupakan panduan supaya anda tahu bagaimana mahu bersedia ke klinik haiwan.




#1: Kaji klinik veterinar yang boleh merawat spesies haiwan peliharaan anda


Kebanyakan klinik veterinar hanya menerima kucing dan anjing. Mereka tiada veterinar yang pakar untuk merawat spesis haiwan peliharaan ada. Kadangkala, walaupun mereka terima haiwan eksotik, mungkin mereka boleh merawat hamster, tetapi tidak boleh merawat landak mini. Jadi, penting untuk anda Google dan menelefon klinik veterinar itu dahulu sebelum pergi.


Sepatutnya, sebelum anda memutuskan untuk mempunyai haiwan eksotik itu lagi anda sudah mengkaji dan memastikan ada klinik veterinar yang boleh merawat haiwan anda. Rujuk artikel ini untuk melihat senarai veterinar yang merawat haiwan eksotik. Pastikan anda menelefon mereka dahulu untuk pengesahan. Kebanyakan klinik veterinar yang merawat haiwan eksotik perlu membuat temujanji terlebih dahulu.



#2: Buat kajian dan catat tentang simptom yang dialami haiwan eksotik anda


Harus diingatkan bahawa anda tidak boleh mendiagnosis sakit haiwan peliharaan anda sesuka hati. Anda perlukan pakar veterinar untuk mengesahkan apa sebenarnya masalah haiwan anda. Namun, dengan membuat bacaan anda sendiri di Google tentang simptom yang dialami oleh haiwan peliharaan anda sedikit sebanyak dapat memberi idea untuk anda bercakap tentang simptom dan penyakit yang anda rasa haiwan peliharaan anda alami itu.


  • Catat simptom-simptom yang dialami haiwan peliharaan anda. Ingat semula sudah berapa lama simptom tersebut terjadi.

  • Rekod video atau tangkap gambar simptom, kelakuan atau bunyi haiwan peliharaan anda yang membimbangkan


#2: Simpan tahi haiwan peliharaan anda


Mungkin ia sedikit menjijikkan, tetapi tahi boleh membuktikan sekiranya haiwan anda sihat atau tidak!

  1. Ambil tahi haiwan peliharaan anda yang paling baharu

  2. Simpan didalam plastik kecil yang bersih

  3. Bawa ke klinik haiwan


#3: Sediakan bekas carrier yang sesuai


Sediakan bekas carrier yang tidak terlampau besar, tidak juga terlampau kecil untuk haiwan peliharaan anda. Rujuk artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang panduan carrier yang sesuai untuk haiwan peliharaan anda.

Selain itu, bawa juga tissue basah untuk membersihkan tahi haiwan peliharaan anda.



#4: Sewaktu di klinik haiwan


Ceritakan pada doktor veterinar tentang kebimbangan, simptom-simptom yang haiwan anda alami. Tunjukkan gambar dan video yang anda telah ambil. Jika perlu, doktor veterinar akan mencadangkan ujian untuk memastikan mereka mendapat diagnosis yang betul. Sekiranya simptom-simptom yang dilihat jelas menunjukkan penyakitnya, doktor akan mendiagnos dan seterusnya memberitahu anda rawatan rawatan yang boleh dilakukan dan ubat yang boleh diberi.


Setelah selesai, minta doktor untuk memeriksa keadaan anggota badan haiwan peliharaan anda yang lain. Ini kerana, sesetengah doktor hanya akan melihat bahagian simptom yang anda beritahu sahaja. Contoh, sekiranya anda memberitahu anda risau tentang telinga landak mini anda yang merah, sesetengah doktor hanya akan melihat keadaan telinga landak mini itu sahaja. Jadi ini ialah soalan soalan yang anda boleh utarakan sekiranya doktor veterinar anda tidak memeriksa haiwan peliharaan anda sepenuhnya;-


  • Saya ada bawa tahi haiwan peliharaan saya. Bolehkah doktor memeriksa tahi ini dibawah mikroskop untuk melihat jika ada parasit atau tidak?

  • Bolehkah doktor mengambil sampel kulit haiwan peliharaan saya untuk memeriksa dibawah mikroskop jika haiwan saya ada kutu atau tidak?

  • Bolehkah doktor memeriksa bunyi jantung haiwan peliharaan saya dengan stetoskop?

  • Bolehkah doktor memeriksa gigi dan gusi haiwan peliharaan saya jika ia sihat atau tidak?


Sebab kenapa lebih baik anda mengutarakan soalan soalan ini ialah kerana anda membayar harga 'consultation' setiap kali anda ke klinik haiwan. Rugi sekiranya anda telah membayar harga consultation tetapi tidak meminta doktor untuk memeriksa keadaan badan haiwan peliharaan anda secara menyeluruh.




#5: Disiplin memberi ubat dan rawatan


Setelah mendapat rawatan dan ubat, pastikan anda disiplin memberi haiwan peliharaan anda ubat. Syringe feed haiwan peliharaan anda merupakan sesuatu yang payah, tetapi ingatlah bahawa mereka perlu ubat untuk sihat. Rujuk artikel ini untuk panduan dan tips syringe feed hamster, hedgehog dan guinea pig.



#6: Perhatikan keadaan haiwan peliharaan anda


Ingat dan catatkan progres haiwan peliharaan anda. Adakah haiwan anda nampak semakin baik dan sihat? Adakah haiwan anda kembali berselera makan? Adakah lukanya nampak semakin kering dan pulih? Sekiranya haiwan anda nampak sama dan tidak semakin baik dalam 4-5 hari, telefon klinik veterinar anda semula dan buat temujanji.



 

FAQ

Berapakah anggaran kos veterinar untuk haiwan eksotik?

Seperti yang kita tahu, kos veterinar untuk haiwan eksotik lebih mahal dari kos vet kucing atau anjing.

Setiap lawatan ke klinik veterinar, anda akan dicaj 'consultation fee' iaitu caj konsultansi. Kos untuk anjing dan kucing selalunya hanya RM15-30, tetapi untuk haiwan eksotik adalah sekitar RM25-RM50. Itu hanyalah kos konsultansi. Bermakna sekiranya tiada rawatan atau ubatan yang perlu diberi, anda hanya perlu membayar RM40 (sekiranya kos konsultansi ialah RM40).


Contoh sekiranya haiwan eksotik anda perlu menjalankan ujian sampel kulit untuk memeriksa kutu, kemudian diberikan ubat anti-kutu dan vitamin, ia boleh menjadi seperi;-


Konsultansi RM40 + Ujian sampel kulit RM20 + Ubat anti-kutu RM20 + Vitamin RM10


Jumlah semuanya RM90


Kiraan diatas hanyalah contoh. Setiap lawatan berbeza mengikut rawatan dan ubatan yang diberi. Sekiranya anda perlu 'follow-up' iaitu perlu ke klinik semua selepas seminggu untuk rawatan susulan, selalunya kos konsultansi yang dicaj akan menjadi lebih murah. Contoh sekiranya konsultansi lawatan pertama ialah RM40, maka konsultansi lawatan kedua untuk susulan hanyalah RM15.


Setiap klinik haiwan berbeza-beza.


Untuk kes biasa, seperti rawatan kutu, fungus, infeksi selalunya jumlah keseluruhan tidak lebih dari RM200. Hanya jika keadaan haiwan anda teruk sehingga perlu dioperasi dan dibedah, ia boleh mencecah lebih RM500.



Klinik haiwan yang saya telah pergi tidak meyakinkan. Apa yang perlu saya buat?

Anda boleh ke klinik haiwan yang lain untuk mendapatkan pendapat pakar yang lain.




320 views0 comments

Comments


bottom of page